Assalamualaikum wbt, salam 15 Ramadhan. InshaAllah, malam ini ana mahu berkongsi ilmu yang sedikit ini kepada antum tentang maksud ayat Al-Quran yang kita sering baca dan dengar iaitu ayat 1 - 3, surah Al-Baqarah.
Maksud ayat pertama surah ini hanya Allah sahaja yang tahu. Jika hanya Allah sahaja yang megetahui maksuh huruf alif lam mim itu, maka timbullah satu kemusykilan atau pertanyaan di hati kecil kita yang jahil ini, apakah huruf itu hanya untuk diketahui oleh Allah sahaja? Adakah ayat itu sengaja diletakkan oleh Allah tanpa sebarang makna? Mustahil itu berlaku kerana setiap ayat yang diturunkan oleh-Nya mempunyai tujuan dan makna yang tersirat. Kebanyakan ulama mempunyai pendapat masing-masing tentang maksud ayat ini, ada juga yang tidak mahu menafsirkannya kerana ia sesuatu yang dirahsiakan oleh Allah SWT.
Merujuk kepada ayat kedua surah ini pula, pernah tak kita melihat mana-mana penulis buku yang memberi jaminan 100% bahawa buku karyanya itu tidak ada cacat cela sedikitpun ? Sudah tentu tidak. Sehebat atau setinggi manapun taraf akademik sang penulis, beliau masih tidak berani meletakkan jaminan sebegitu. Inilah bezanya buku ciptaan manusia dengan Kitabullah.
Di dalam ayat kedua Allah SWT mengatakan bahawa, 'Inilah kitab yang TIADA KERAGUAN'. Inilah jaminan yang diberikan oleh Allah bahawa setiap ayat atau kandungan di dalam Kitab ini tidak ada yang meragukan. Dan kemudian Allah sambung di dalam ayat yang sama, 'Petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa'. Maka tahulah kita jika masih lagi ragu-ragu dengan Al-Quran, maka kita masih lagi belum bertakwa. Nauzubillahi min zalik.
Ukhuwah fillah, ayat itu tidak tergantung begitu sahaja, mungkin ada di antara kita yang masih ragu-ragu dengan ayat-ayat Allah di dalam Al-Quran tetapi ingin menjadi orang yang bertakwa. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Oleh sebab itulah adanya ayat ketiga surah Al-Baqarah ini. Di dalam ayat itu Allah letakkan ciri-ciri orang yang bertakwa kepada-Nya.
Pertama sekali Allah sebut di dalam ayat ketiga, BERIMAN (ATAU PERCAYA) KEPADA BENDA YANG GHAIB. Apakah benda yang ghaib? Bahasa mudahnya, benda ghaib adalah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Tetapi apa yang dimaksudkan tentang "benda yang ghaib" itu adalah Allah, para malaikat, syurga neraka dan sebagainya. Yakinlah bahawa mereka ada tetapi tidak dapat dilihat mahupun disentuh. Itulah kriteria pertama orang yang bertakwa.
Kedua, TUNAIKAN SOLAT. Inilah perkara yang paling sukar dilakukan oleh orang yang ingkar kepada perintah Allah. Bagaimana nak tunaikan solat jika tidak mengikuti ayat yang sebelumnya yakni beriman kepada benda ghaib? Oleh sebab itu, untuk lakukan sesuatu, mula daripada awal. Awaludin makrifatullah, seawal-awal agama adalah mengenal Allah. Solat ini hanya kecil dari segi perkataan tetapi sangat besar untuk diceritakan atau dihuraikan. Cukuplah kita tahu setakat ini bahawa ibadah solat termasuk di dalam ciri-ciri orang yang bertakwa.
Kemudian, ayat seterusnya sangat berbeza dengan kebanyakan ayat selepas diseru untuk tunaikan solat. Kebanyakan di dalam al-Quran sering menyeru, "wayuqimussolata wayuktuzzakah", (tunaikan solat dan berikan zakat), tetapi di dalam ayat ketiga surah al-Baqarah ini Allah berfirman, "wayuqimussolata wamimma rozaqnahum yunfikun", (tunaikan solat dan MEMBELANJAKAN SEBAHAGIAN DARI REZEKI yang Kami berikan kepada mereka). Berbezakah perkataan 'zakat' dengan 'membelanjakan sebahagian dari rezeki'? Bukankah 'membelanjakan sebahagian dari rezeki' itu definisi bagi 'memberi zakat'? Apakah perbezaannya?
Pembaca yang setia, ketahuilah bahawa Allah itu Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Perkataan 'membelanjakan sebahagian dari rezeki' SANGAT BERBEZA dengan 'memberi zakat' walaupun ia seperti hanya didefinisikan. Apa yang ingin disampaikan di dalam ayat ketiga surah ini adalah CIRI-CIRI ORANG BERTAKWA. Jika diletakkan seruan membayar zakat pada ayat ini maka tidak berpeluanglah kepada orang-orang yang tidak bekemampuan untuk bertakwa kepada Allah kerana mereka tidak mampu membayar zakat, malahan merekalah yang menerima zakat.
Perkataan 'rezeki' yang disebut dalam ayat 'membelanjakan sebahagian dari rezeki yang telah kami berikan kepada mereka' telah dihuraikan oleh para ulama dimana terbahagi kepada banyak cabang. Di antaranya adalah Tenaga, Masa, Ilmu dan sebagainya. Maka dengan huraian itu tahulah kita bahawa setiap lapisan masyarakat mampu menjadi hamba Allah yang bertakwa.
Maha Suci Allah yang meletakkan ayat "wamimma rozaqnahum yunfikun" membuktikan bahawa keadilan dan kebijaksanaa hanya untuk Allah azza wajalla. Kesimpulannya, diri kita bertakwa atau tidak adalah PILIHAN SENDIRI! Akhir kata dari ana, semoga kita berada satu saf bersama orang-orang yang soleh lagi bertakwa. Amin ya rabbal 'alamin. Maaf jika ada sebarang kesilapan, harap ditegur. Assalamualaikum wbt.